I can still write in Malay? :) Also see Nik Nazmi and Pak Bakaq on this issue. Ps- From a brief surveying, there are hotheads and coolheads on both sides of the PAS/DAP divide; let’s hope the latter prevails.
Apakah satu-satunya cara umat Melayu akan berjaya bersatu adalah melalui gabungan parti-parti politik Melayu?
Teori ini tidak harus diterima serta merta tanpa kajian teliti.
Perpaduan Melayu tidak boleh berasaskan ketaatan buta atau kepercayaan yang berdasarkan warna kulit sahaja.
Dalam 50 tahun pentadbiran kerajaan dan 30 tahun di bawah Dasar Ekonomi Baru, tidak ramai yang bukan dari golongan elit boleh dikatakan menikmati manfaat dari kepimpinan parti ‘ulung’ Melayu yang kononnya mengagungkan agenda Melayu.
Perpaduan apa jika rasuah masih bermaharajalela? Perpaduan apa jika Melayu kaya terus rompak dan mencuri daripada Melayu miskin?
Apabila Melayu kaya dan berkuasa mengagihkan seratus ringgit dari setiap sejuta ringgit yang dicurinya secara haram dari khazanah negara untuk “mengurangkan beban” Melayu (yang sanggup menjadi ahli Umno), itu bukan perpaduan namanya.
Dalam sejarah Malaysia, rakyat Melayu yang sedar dan enggan ditipu lagi terpaksa meninggalkan payung Umno dan memulakan wadah perjuangan yang baru dan bersih. Maka terlahirlah beberapa parti politik yang baru yang majoritinya masih orang Melayu.
Dr. Khir Toyo, yang pernah bangga atas dasarnya untuk menolak ke jalan raya rakyat Melayu yang tidak mampu hidup mewah dan terpaksa menjadi peneroka bandar, kini sanggup bermimpi pula: “Impian saya ialah suatu hari nanti kita semua dapat melihat YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datin Seri Wan Azizah dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk semeja.”
Soalnya, mengapakah malaikat patut duduk semeja dengan syaitan?
Walaupun boleh dikatakan mendadak untuk menyifatkan pihak tertentu sebagai malaikat atau syaitan, tetapi hakikatnya, perpaduan harusnya berasaskan integriti dan niat suci yang mendalam, dan tidak berhenti di permukaan kulit sahaja atau impian naif.
Tidak mungkin perpaduan Melayu tercapai ketika mereka yang sanggup menggadaikan maruah dan masa depan bangsa dan negara untuk kepentingan diri masih berkuasa di Malaysia.
Sejarah jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa jelas menyalahgunakan Dasar Ekonomi Baru dan telah gagal sama sekali untuk mengangkat martabat bangsa. Sebaliknya, rakyat Melayu kian miskin dan jurang antara Melayu miskin dan Melayu kaya meningkat secara mendadak.
Dengan pandangan sekilas pun, mereka yang sedar boleh menilai untuk sendiri asal-usul kepedihan ekonomi yang kini semakin membebankan rakyat. Rakyat marhaen terpaksa mengurangkan pembelian beras kerana harga yang meningkat, manakala orang besar kerajaan sanggup mengguna duit rakyat untuk membeli 13 buah kereta Mercedes untuk digunakan oleh Exco kerajaan.
Rakyat terus dibeban dengan kenaikkan harga minyak, harga tol dan harga barang-barangan tetapi kerajaan seolah-olahnya terlalu sibuk membelanjakan sumber dan tenaga melancarkan tuduhan kurang berasas dan serangan peribadi terhadap lawan politik mereka - nasib rakyat pula kian terabai.
Dari keadaan separah ini, mampukah perpaduan sejati dilahirkan?
Yang diperlukan untuk perpaduan - bagi orang Melayu mahupun orang bukan Melayu - adalah pentadbiran negara yang adil dan berintegriti, kesaksmaan dan keutuhan institusi-institusi negara, serta ketelusan dalam segala aspek kerajaan.
Dari batu-bata ini barulah perpaduan Melayu boleh dibina. Dari asas ini akan munculnya rakyat yang memfokuskan daya tenaga negara untuk menjamin kekuatan ekonomi negara dan meringankan beban hari ke hari untuk semua rakyat Malaysia.
Kemakmuran ekonomi dan ketelusan pentadbiran pula akan menjadi ikatan yang menyatukan semua insan yang berintegriti.
Soal PAS-Umno
Sebuah parti politik tidak boleh dinilai berasaskan kata-kata yang dipaparkan di papan tanda ibu pejabatnya sahaja. Sebaliknya, isi hati dan sejarah pergerakan parti politik tersebut mesti turut diteliti.
PAS sudah lama membina reputasi mereka sebagai sebuah parti berprinsip yang mengagungkan nilai-nilai Islam yang murni, dan yang mengutarakan pemimpin-pemimpin yang alim, berperikemanusian dan berprinsip teguh.
Mana-mana langkah untuk berkongsi kuasa dengan Umno pada waktu ini - Umno yang telah menjadi sasaran PAS untuk berpuluh-puluh tahun kerana ketandusan total nilai-nilai moral dan nilai-nilai Islam sebenar mereka - akan menghancurkan kredibiliti PAS dan jelas akan memecah-belahkan parti.
Pada asasnya, mana-mana langkah terhadap perkongsian kuasa dengan Umno pada saat ini akan menimbulkan keraguan serius terhadap PAS. Dari segi politik, risikonya lebih tinggi lagi; sekiranya Umno gagal mengaturkan rumah sendiri dan terus berkeras kepala dalam niat mereka untuk mengabaikan rakyat, bahtera Umno akan terus tenggelam, dan bersamanya ahli-ahli PAS yang menyertainya.
Sebaliknya, dengan menghormati persetujuan Pakatan Rakyat, PAS akan menjamin keutuhan parti dan kian menghampiri matlamat mereka untuk mengasaskan kerajaan yang berdasarkan nilai Islam yang murni dan bebas total dari warisan unsur-unsur tercemar.
Keputusan asal PAS adalah untuk bersatu dengan Pakatan Rakyat adalah berasaskan keputusan untuk bersama dengan rakan-rakan yang berkongsi prinsip dan nilai-nilai murni dan menolak sekuat-kuatnya kegiatan keji golongan munafik.
Sehebat mana pun helah Umno untuk mempermainkan media, kepentingan prinsip dan hitungan politik jelas menunjuk bahawa keteguhan PAS dengan Pakatan Rakyat tidak harus diragui sama sekali.
Tags: Malaysian Politics by Nathaniel Tan
10 Comments »